Kuala Terengganu: Selepas empat tahun dua bulan menjalani kehidupan di dunia ini, akhirnya Siti Solehah Mohd Mazolru yang mengalami kecacatan otak dan tidak memiliki hidung serta mulut sumbing menghembuskan nafas terakhir tepat jam 8.15 malam, pada 7 Januari lalu.
Kanak-kanak istimewa yang dianggap permata keluarga bagi pasangan
suami isteri, Mohd Mazolru Ibrahim, 31, dan Siti Haslina Sheikh Hussin,
34, serta tiga anak lelaki mereka, Mohd Ekmal Daniel, 12, Mohd Ekmal
Darwisy, 9, dan Mohd Ekmal Darimie, 6, meninggal dunia di Hospital
Sultanah Nur Zahirah, di sini, selepas lima hari dimasukkan ke hospital
itu kerana muntah berdarah.
Siti Haslina dari Kampung Nibong, di sini, berkata, walaupun sukar
menerima kenyataan itu, dia dan suaminya reda pemergian Siti Solehah
kerana menyedari setiap kejadian yang berlaku itu adalah ketentuan
Allah.
“Saya dan suami sentiasa berada dalam keadaan bersedia
menerima ujian ini kerana melihat penderitaannya, kami berasakan hayat
Siti Solehah tidak panjang.