Masalah ponteng sekolah bukan satu perkara baru malah ada antara
mereka yang menjadikan kawasan rekreasi seperti air terjun untuk bermadu
kasih.
Menurut laporan sebuah portal,walaupun perbuatan mereka dilakukan secara senyap, namun ia berjaya dikesan penduduk tempatan.
Seorang penduduk yang tinggal berhampiran sebuah taman rekreasi di
sini berkata, selalunya pelajar sekolah berpasangan akan menaiki
motosikal berasingan dan berjumpa di rumah rehat disediakan sebelum
berjalan ke kawasan lebih sunyi dan jauh dari pandangan orang ramai.
Menurutnya, dari tinjauan, kebanyakan pelajar sekolah terlibat berusia antara 16 hingga 17 tahun dan memakai uniform sekolah.
Mereka akan ke kawasan rekreasi seawal jam 8 pagi dan meletakkan motosikal mereka dalam kawasan semak.
Katanya penduduk juga telah mengenal pasti beberapa lokasi yang
sering dijadikan tempat pasangan ini ponteng sekolah selain melakukan
maksiat.
Papan tanda turut dipasang bagi mengingatkan pengunjung supaya tidak
melakukan perbuatan sumbang, bagaimanapun ia tidak diendahkan.
“Penduduk sering jumpa motosikal yang disembunyikan. Ada penduduk
yang memberi teguran kepada pasangan terlibat tetapi tidak dihiraukan.
Alasannya, mereka ingin belajar.
“Kita ada kemudahan perpustakaan di Pekan Kulim. Kalau betul hendak
belajar, pergilah ke sana dan bukan duduk di tempat sunyi dan
berpasangan. Oleh itu, saya minta pihak berkuasa pantau dan tahan
pasangan terlibat supaya taman rekreasi ini tidak dijadikan tempat
mereka melakukan maksiat,” katanya.
Sementara itu, Ketua Penguatkuasa Pejabat Agama Islam Daerah Kulim
Kedah (PADK) Azmi Rejab berkata, dari tangkapan dibuat, pasangan bawah
umur dan masih bersekolah merupakan golongan yang paling ramai ditahan
setiap kali operasi dijalankan.
“Saya ingin memaklumkan kepada penduduk kampung bahawa orang awam
juga boleh menahan mana-mana pasangan yang melakukan maksiat di kawasan
rekreasi.
“Apa yang perlu mereka lakukan adalah merakamkan perbuatan dibuat
oleh pasangan itu sebelum menyerahkan mereka kepada mana-mana balai
polis berhampiran dan memaklumkan tangkapan itu kepada PADK. Kami akan
datang ke balai polis dan membuat tangkapan semula,” katanya.
Azmi meminta kerjasama orang ramai supaya tidak mencederakan pasangan
terlibat sebaliknya menyerahkan mereka kepada polis supaya tindakan
undang-undang dapat diambil terhadap mereka terlibat.